Tuesday, September 9, 2014

Zaman Gila

'Zaman gila' jangan dijemput

Selasa, 9 September 2014 - 5:36AM
Oleh Dr Anwar Ridhwan

bhrencana@bh.com.my

Berdasarkan beberapa peristiwa kalut dan kusut kebelakangan ini, mungkinkah negara kita mula memasuki 'zaman gila'? Ungkapan ini kedengaran kasar, tetapi ungkapan ini jugalah yang telah digunakan oleh seorang pujangga Jawa bernama Ronggowarsito ketika memerikan 'zaman edan' di Indonesia pada abad ke-19.

Dalam Kamus Dewan edan disama-ertikan dengan gila, bukan kurang waras atau kurang siuman. Ia memang suatu situasi yang teruk. Dalam puisi Jawa atau tembang 12 bait Ronggowarsito yang diberi judul Serat Kalatida, ia menurunkan beberapa ciri zaman gila. Antaranya ialah semakin merosotnya nilai kehidupan, manusia tidak mengendahkan peraturan dan zaman yang penuh keragu-raguan.

Jika benar kita sedang memasuki 'zaman gila', ini adalah fasa awal malapetaka nasional kita. Ia bukan kemalangan atau kecelakaan kecil yang dialami individu, tetapi akan membabitkan banyak orang. Kalau malang dan celaka, atau 'geruh' menurut orang Utara Semenanjung hanya membabitkan individu, dulu-dulu dipulihkan dengan mandi tolak bala. Tetapi 'zaman gila' mendatangkan bala yang sangat besar.

Ciri pertama 'zaman gila' Ronggowarsito iaitu semakin merosotnya nilai kehidupan, dapat kita saksikan melalui beberapa peristiwa mutakhir ini. Antaranya ialah bagaimana aspek akhlak, moral serta budi pekerti mula dikesampingkan.

Bertindak biadab

Pengguna media sosial yang tidak mengendahkan nilai murni kehidupan, bertindak biadab secara terang-terangan menghina individu lain, atau budaya serta kepercayaan penganut agama lain. Perlakuan jenayah dan seksual disebarkan secara maya. Sebilangan ahli politik celupar sudah membelakangkan etika ketika membelasah musuh politik atau polisi yang tidak disenanginya.

Sebelum 'zaman gila' tidak ada pasangan pengantin baharu yang berpakaian separuh bogel, merayau-rayau di bandar memanifestasikan fasa baharu kehidupan mereka. Begitu juga belum pernah ada pesta rekreasi bogel-bogelan untuk jantan dan betina di pantai tanah air kita.

Ciri kedua 'zaman gila' Ronggowarsito iaitu manusia tidak mengendahkan peraturan, bukan sahaja terlihat pada contoh di atas. Ia terjadi di sekeliling kita sehari-hari, termasuk peristiwa yang dianggap 'biasa' seperti vandalisme yang merosakkan kemudahan awam, peraturan jalan raya tidak dipatuhi, dan iklan-iklan haram digantung dan ditampal sesuka hati.

Lebih serius daripada itu adalah tindakan tidak mengendahkan peraturan yang lebih tinggi berupa kontrak sosial, undang-undang dan Perlembagaan. Ini termasuk persoalan berterusan mengenai kedudukan agama Islam, Raja-raja Melayu dan hak Bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, cabaran terhadap kesatuan Persekutuan Malaysia dan sebagainya.

Terdapat juga demonstrasi yang dijana oleh emosi dan kepentingan tertentu penganjurnya, pada hal isu yang dibangkitkan telah jelas tertulis dalam Perlembagaan atau undang-undang tubuh sesebuah negeri.

Kehidupan bersosial

Namun apa yang lebih membimbangkan dalam 'zaman gila' adalah ciri ketiga, iaitu apabila kehidupan kita bersosial dan bernegara penuh dengan keragu-raguan. Ia membabitkan semua peristiwa dalam dua ciri di atas, apabila pemimpin dan penguasa dilihat lambat atau ragu-ragu untuk bertindak tegas secara menyeluruh dan telus.

Kalau pemimpin dan penguasa tidak ragu-ragu bertindak, kita dapat menghapuskan atau mengurangkan pelbagai salah laku yang melanggar etika dan undang-undang. Begitu juga kita tidak akan menghadapi isu lambakan jutaan pendatang asing yang mengancam budaya serta anggota masyarakat kita dengan perlakuan jenayah serta penyakit bawaan sebilangan mereka.

Apabila isu-isu itu tidak dapat diatasi, pada hal kita mempunyai pemimpin dan penguat kuasa, orang awam mungkin mempunyai persepsi bahawa gejala rasuah sedang berlaku apabila penerima rasuah perlu mendapatkan wang tambahan dalam 'zaman gila', dan pemberi rasuah bertindak oportunis dalam 'zaman gila' yang menolak hukum rasional akal, moral dan agama.

Senario politik

Lebih malang, kemelutnya ditambah oleh situasi politik. Perubahan senario politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan (PRU13) seolah-olah menyaksikan 'keyakinan baharu' di suatu pihak, yang dengannya mencabar pelbagai institusi dan pihak berkuasa.

Kita tidak mahu 'keyakinan baharu' ini akan menjadi api marak yang akan memusnahkan keharmonian masyarakat serta masa depan negara kita.

'Zaman gila' jangan dijemput. Tetapi jika ia sudah muncul di halaman rumah kita, sebagai rakyat wajar kembali rasional dalam serba-serbi tindakan. Lebih penting daripada itu pemimpin kita dan pihak berkuasa harus bertindak pantas, telus dan menyeluruh agar rakyat tidak berasa ragu-ragu dengan kuasa eksekutif mereka, serta yakin bahawa Malaysia akan bebas dari 'zaman gila'.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber Berita Harian 10 September

No comments: