Wednesday, September 3, 2014

Jangan takut mulakan perniagaan

TIDAK dinafikan, ramai yang ingin wang tambahan dalam gaya hidup yang menekankan hari ini. Antara cara menjana pendapatan tambahan ialah memulakan perniagaan sambilan. Namun, ia tidak semudah yang disangka bagi mereka yang belum menjalankan perniagaan.

Sememangnya sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan. Tetapi masalahnya, sembilan daripada 10 perniagaan gagal. Kebanyakannya gagal pada tahun pertama saja. Hendak memulakan perniagaan memang mudah tetapi susahnya menjalankan perniagaan yang berjaya.

Ketika menjalankan seminar dan kursus perniagaan serata Malaysia, soalan yang sering ditanya, apakah perniagaan yang terbaik? Jawapan saya, “Apakah minat anda?”

Dalam memulakan perniagaan, sebaiknya ia mengikut minat, kebolehan atau kepakaran yang ada pada diri sendiri. Kebanyakan perniagaan yang gagal kerana menjalankan perniagaan yang tidak diminati. Selalu saya dengar usahawan mengadu selepas gagal berniaga baru sebulan dua kerana memulakan perniagaan sebab “ikut kawan”, “perlukan wang sangat” atau “saja nak cuba”.

Teringat saya 12 tahun lalu ketika saya mulakan perniagaan Internet saya yang pertama untuk menjana wang tambahan iaitu perkhidmatan mereka cipta. Selama setahun, saya cuma berjaya mendapat tiga orang pelanggan saja. Tiga pelanggan dalam masa setahun ternyata satu kegagalan juga tak pulang modal!

Tetapi walaupun gagal, saya tidak putus asa dan meneruskan juga perniagaan sebab saya amat berminat dalam bidang reka cipta. Ketika di sekolah agama dulu, jika ada pertandingan tulisan khat, pasti saya menang. Ketika di sekolah rendah dan menengah, saya sering jual hasil lukisan saya kepada kawan-kawan. Di ITM dan universiti pula, saya membuat kemeja-T dan kad raya untuk dijual sesama kawan. Minat dan bakat saya sememangnya dalam bidang reka cipta, justeru walaupun menjalankan perniagaan dengan hanya tiga pelanggan setahun, saya tetap melakukannya kerana minat, bukan kerana wang.

Apabila membaca kisah bilionair berjaya seperti Bill Gates, Steve Jobs, Oprah Winfrey dan Richard Branson, semuanya menjalankan perniagaan yang menurut minat dan kebolehan masing-masing. Jadi, bukan lagi rahsia minat menjadi kunci kejayaan perniagaan.

Sekiranya anda ingin mulakan perniagaan, tidak perlu lihat di tempat lain, tetapi lihat dalam diri sendiri. Apakah minat anda? Apakah kekuatan anda? Apakah kebolehan anda? Apakah latar belakang anda? Jawapan kepada soalan ini menjadi permulaan untuk menentukan jenis perniagaan terbaik untuk anda lakukan.

Apabila dalam keadaan memerlukan wang tambahan, pelbagai cara difikirkan, antaranya memulakan perniagaan sambilan. Jika dalam keadaan terdesak, sering kali emosi mengawal perasaan kita dalam menyertai program perniagaan, skim pelaburan dan macam-macam lagi peluang menjana pendapatan.

Fikir sebelum melaburkan apa saja wang yang kita ada kerana terlalu banyak peluang perniagaan, menjana pendapatan dan melabur yang hanya meleburkan duit kita. Fikirkan minat yang pertama dan wang kedua!

Memulakan Perniagaan Internet :

PERNIAGAAN Internet mempunyai pelbagai kelebihannya. Antaranya, kos memulakan perniagaan Internet rendah dan mudah dimulakan oleh sesiapa saja. Dengan gajet telefon pintar dan tablet yang sering digunakan hari ini, ia memudahkan perniagaan Internet dijalankan di mana saja pada bila-bila masa.

Selain itu, perniagaan Internet membolehkan kita mendapat pasaran yang lebih besar - bukan saja Malaysia tetapi global. Perniagaan Internet seperti perniagaan bukan Internet yang biasa kita lihat. Anda perlu mempunyai produk atau perkhidmatan untuk diniagakan. Mulakan dengan minat anda. Bidang apa yang anda minat, produk dan perkhidmatan dalam bidang itulah yang terbaik untuk anda niagakan.

Langkah kedua dalam perniagaan Internet memerlukan ‘kedai’ di Internet. Kedai di Internet pula zaman ini datang dalam pelbagai jenis. Mungkin ia laman web, blog atau Facebook. Dengan hanya mempunyai tempat di Internet untuk menjual seperti Facebook itu sendiri, ia sudah memadai untuk menjual produk atau perkhidmatan anda.

Langkah ketiga ialah promosi. Amat penting promosi dalam perniagaan Internet malah lebih banyak cara promosi yang diketahui, lagi hebat perniagaan Internet anda.

Dalam apa saja perniagaan, tidak kira perniagaan Internet atau perniagaan bukan Internet, ilmu amat penting. Dalami ilmu perniagaan terlebih dulu sebelum memulakan apa saja perniagaan. Baca buku, layari Internet, hadiri kursus dan apa saja untuk menambahkan ilmu perniagaan di dada.

Irfan Khairi

Sumber :
Harian Metro
Majalah M

No comments: